Assalamualaikum semua... madah ini adalah hasil ciptaan lisa sendiri
melalui pengalaman peribadi dan semoga Allah SWT mencucuri Rahmat ke
atas roh ayah lisa, Wan Bin Tokemin serta roh2 kaum Muslimin dan
Muslimat yg telah kembali ke rahmatullah. Amin.
___________________________________________________________
PERGIMU AYAH
Ku duduk, ku renung dan ku tatap wajah ibu di malam itu
Tampak jelas riak wajahnya yang kelihatan begitu sayu
Kedut di dahi sudah menandakan usia ibu yang ditelan waktu
Sambil membaca Al-Fateha dengan hati yang teramat pilu
Titisan demi titisan airmata ibu yang berguguran
Menyapa lagi kepiluan hati ku yang tidak berkesudahan
Aku hanya mampu duduk di situ menahan kesedihan
Dipejamkan mata lalu ku bertanya kepada Tuhan
Apakah yang terjadi ini suatu pembalasan
Atau apakah ianya suatu pengajaran
Bagi diri ku yang sering mengambil kesempatan
Di saat waktu masih belum berlarutan
Kenikmatan dunia membuatkan aku di dalam khayalan
Berkhayal mencari arah tujuan hidup yang masih di dalam kegelapan
Aku semakin lupa akan kesenangan yang diberikan
Sehingga diri ku alpa akan erti sebenar sesebuah kehidupan
Ayah ialah seorang yang tabah dan berani
Dirinya amat ku kasihi dan hormati
Dia tidak pernah lalai dengan tugasnya sebagai seorang suami
Mahupun tanggungjawabnya sebagai seorang ayah yang sejati
Tanpa mengenal siang dan malam ayah bekerja
Demi menampung keperluan keluarga
Agar si isteri sentiasa kelihatan ceria
Supaya anak-anaknya sentiasa gembira
Tidak pernah ku cuba mengerti dan selami
Penderitaan yang ayah tanggungi sendiri
Aku hanya tahu untuk meminta itu dan ini
Kerana sangka ku ayah akan selalu berada di sisi
Ayah sering mengadu akan kesakitan yang dialami
Kesakitan yang teramat pedih untuk dilalui
Namun apa yang amat menyedihkan lagi
Raungan yang diberi seolah tidak dipeduli
Setelah usia ku meningkat ke alam remaja
Seiring dengan masa aku dewasa
Di saat ku masih ingin dibelai dengan manja
Aku ditinggalkan tanpa dangkapan mesra
Sungguh tercabar kiranya kewibaan ku di saat itu
Di saat airmata mu berderaian satu-persatu
Aku termangku dan sesungguhnya aku terpaku
Kerana selama ini belum pernah ku lihat diri mu sebegitu
Ayah,
kau menangis bukan kerana kesakitan yang kau alami
Kau menangis bukan kerana penderitaan yang kau tanggungi
Kau menangis bukan jua kerana pahitnya ubat yang harus kau telani
Tetapi… tangisanmu itu kerana kehadiran mu seperti tidak diperlukan lagi
Begitu cepat kiranya putaran masa yang berlalu
Masih terasa kehangatan dangkapmu
Masih terngiang-ngiang setiap ungkapan katamu
Masih terbayang-bayang wajahmu di ruang mataku
Sudah tiada lagi kesempatan buat diri ini
Untuk menabur budi mu yang tiada terperi
Perasaan kesal kian menyelubungi
Kerana diri ini tidak diberi peluang walaupun hanya sekali
Ingin ku jaga dirimu dan juga ibu dengan tangan ku sendiri
Ingin ku lihat kebahagiaan yang selama ini kau cari
Ingin ku lihat kau berdua bersenang-lenang di hari tua mu nanti
Tanpa perlu kau memikirkan akan benda duniawi
Belum sempat dirimu terima hasil ku ini
Yang ku lakukan dengan titik peluh ku sendiri
Engkau pergi dan tak kan kembali
Setelah maut kiang menyelungsuri
15hb Mei 1999, tanggal yang tidak akan luput dari ingatan
Hari yang telah membuka sejarah di dalam sesebuah kehidupan
Sesunyi kematian itu yang meragut seluruh kasih sayang yang tak kesampaian
Yang tidak berpenghujung serta amat melukakan
Mungkin itu adalah baik daripada dirimu berterus-terusan
Menanggung derita yang berpanjangan
Mungkin ini adalah jalan yang terbaik yang telah disiratkan
Semoga di sana diri mu akan mendapat suatu kedamaian
Kembali aku menatap wajah yang penuh kehampaan
Tergenang air jernih di birai matanya yang lesu mengharukan
Mungkin dia sedang menyingkap kenangan manis yang terpahat di ingatan
Kenangan manis yang dilalui bersama untuk meranjau onak kehidupan
Sedih tidak terkata kiranya ku lihat ibu yang kini keseorangan
Tiada lagi teman untuk dinantikan kepulangan
Tiada lagi senyuman yang ibu girankan
Tiada lagi terbitnya mentari yang ibu nantikan
Namun ibu tabahkan jua hatinya yang duka
Dikuatkan semangat dan kekuatan yang ada
Sambil menadahkan tangan kepada yang Esa
Memohon agar dilindungi dan diberkati keluarga tercinta
Ku doakan pada yang Esa
Agar ibu ku dilanjutkan usia
Semoga ibu tetap berbahagia
Di samping anak-anak dan cucu yang ada
Kini jiwaku hanya diselimuti dengan berbagai sesalan
Sesalan yang ku tahu tidak akan dapat aku luputkan
Biarpun usiaku larut ditelan zaman
Namun akan tetap peristiwa itu ku semat rapi di dalam ingatan
Ayah,
Semoga kau dapat mencari kedamaian hati
Yang selama ini diri mu nanti
Ku doakan agar diri mu diberkati
Dan ditempatkan di antara orang-orang yang dikasihi
Biarpun begitu mendalam kesan yang ditinggalkan oleh mu
Namun ku masih percaya akan Rahmat disebalik semua itu
Kerana sebagaimana yang pernah ku diajar oleh mu
Bahawa kau telah mengorbankan segala tenagamu di sepanjang hayatmu
Sesungguhnya ingin ku luahkan di sini
Bahawa sesungguhnya tiada Ayah lain di dunia ini
Yang dapat menandingi sifat-sifatmu sebagai seorang ayah yang sejati
Yang sanggup berkorban demi kami
Hanya sekalung Al-Fateha sahaja yang dapat ku hadiahkan
Untuk mengiringi mu di alam Barkah
Semoga kuburmu sentiasa dilapangkan
Dan pancaran sinaran sebagai panduan di dalam perjalanan
Amin…